Thursday, 11 December 2014

KELEMBUTAN BUKAN KEKERASAN

Bila disebut tentang kelembutan, tidak dapat tidak terpancar dalam benak fikiran segelintir masyarakat hari ini berkenaan dengan kelembutan wanita. Ya, kelembutan selalu disinonimkan dengan wanita. Kenapa? Mustahilkah sifat kelembutan ini dinukilkan kepada insan maskulin? Haruskah ianya disifatkan kepada insan feminin semata? Tidak. Sudah semestinya tidak. Jangan sempitkan skop kelembutan. Dan jangan pula disalah ertikan definisi kelembutan itu sendiri. Memandangkan sekarang ini hangat dengan isu ‘transgender’,bukan bermakna kelembutan yang ingin disampaikan disini berkenaan dengan kelembutan sifat fizikal sehingga merubah fitrah asal. Tidak sama sekali.

 Tertarik akan satu frasa yang dijadikan tema sebuah drama Warkah Cinta Berbau Syurga yang berbunyi ‘selama-lamanya kelembutan tidak akan pernah tewas dengan kekerasan’ . Watak kelembutan seorang lelaki yang bernama Amir Mukhlis mampu meluluhkan hati seorang wanita bernama Wardah sebagai pembawakkan wanita yang bersifat kasar. Malah, mampu juga menyedarkan sahabatnya yang cuba mengkhianati beliau. Begitu besarnya kuasa kelembutan.

 Dan berbalik pada frasa tadi, sebenarnya itu adalah rangkuman dari akhlak Rasulullah dan turut diterjemahkan oleh sesiapa yang menjadikan sifat itu kedalam diri. Dan antara contoh sahabat terdekat baginda ialah Saidina Abu Bakar As-siddiq. Sifat kelembutan yang dizahirkan oleh As-siddiq mampu menarik beberapa orang kembali kepada fitrah dan sehinggakan dapat menjadikan individu-individu tersebut sebagai figura-figura hebat Islam seperti Saidina Uthman, Saad b. Abi Waqas, Ubaidillah dan Talhah.

 Turut dinyatakan tentang kelebihan memiliki sifat lembut melalui sabda Rasulullah kepada Saidatina Aisyah ‘Wahai Aisyah, sesungguhnya Allah Maha Lembut dan suka pada kelembutan. Allah memberi kepada kelembutan apa yang Dia tidak memberi kepda kekerasan dan apa yang tidak diberikan kepada yang lainnya’ (HR Muslim)

 Ulama menjelaskan juga maknanya dengan kelembutan seseorang akan meraih berbagai tujuan dan mudah mencapai apa yang diharapkan (syarah Muslim)

 Tidak lengkap sekiranya tidak disertakan contoh peribadi insan teragung dalam mendefinisikan istilah kelembutan. Didalam buku Syamail Muhammadiyah (Imam Tirmizi), hadis yang ke-337 ada disertakan bahawa Hasan bin Ali berkata “Aku bertanya kepada ayahku mengenai perjalanan hidup Rasulullah”. Ayahku menjawab “Rasulullah ada seorang yang memiliki wajah yang ceria, suka mempermudah urusan, mempunyai perasaan lembut, sikap dan dan hati beliau tidak kasar…” (HR Tirdmizi)

 Nah. Tidak hairanlah jika dikatakan nikmat Islam mampu dikecapi oleh umat hari ini adalah diantara salah satu faktornya kerana kelembutan baginda. Ini kerana kelembutan merupakan akhlak yang mampu mendekatkan manusia kepada Islam, dan kekerasan serta perilaku buruk akan merugikan Islam dan umatnya. Oleh sebab itu Baginda selalu menyeru umatnya agar bersikap lembut. Beliau juga pernah bersabda, "Sikap hati-hati (tidak tergesa-gesa), kesederhanaan, dan perilaku lembut adalah sebahagian dari 24 ciri kenabian." (HR at-Tirmidzi).

 Dan Allah juga menjelaskan didalam Al-quran, "Maka, disebabkan rahmat dari Allah lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu." (QS Ali Imran 159). Jadi, jelaslah disini bahawa kelembutan itu memainkan peranan yang penting dalam menyebarkan dakwah islam, samaada kepada individu tertentu atau berkelompok. Dan perlu diingatkan bahawa kelembutan itu tidak sewajarnya disinonimkan dengan wanita sahaja. Malah ianya merangkumi kedua-dua jantina.

 By: insan faqir ilmu

 In shaa allah akan ada sambungannya nanti ;)